'Pulangkan barang, dokumen anak saya'

Nur Farahain dirawat di ICU Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang.

KLUANG - Niat mencari wang tambahan pada cuti semester bertukar tragedi buat seorang penuntut tahun akhir, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila dia kini bertarung nyawa selepas terlibat kemalangan ketika pulang dari kerja, kira-kira jam 10.30 malam, Selasa lalu.


Mangsa, Nor Farahain Supaat, 23, yang koma kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang, akibat kecederaan teruk pada bahagian dalaman dan anggota badan serta patah tulang rusuk.

Insiden malang tersebut berlaku di Jalan Selar, apabila motosikal ditunggang mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum dilanggar kenderaan dipandu rakan sekerjanya.

Bapa mangsa, Supaat Kasbi, 51, berkata, anak sulungnya daripada tiga beradik itu bekerja di sebuah pasaraya di bandar Kluang pada cuti semester selama sebulan sebelum menyambung pengajian di tahun akhir.

Menurutnya, walaupun dia reda menerima kejadian menimpa anaknya itu, namun dia kesal kerana barang berharga dan dokumen penting di dalam beg tangan anaknya hilang dipercayai dicuri.

“Saya hanya mengharapkan anak saya sembuh dan dapat menamatkan pengajiannya di UKM kerana tahun ini tahun akhir dia di sana.

“Bagi sesiapa yang terambil barang berharga dan dokumen penting anak saya ketika kemalangan itu, diharap dapat memulangkan semula kepada kami kerana ia sangat diperlukan untuk urusan pengajiannya,” katanya kepada Sinar Harian, pada kunjungan rombongan Puteri Umno Bahagian Kluang, semalam.

Supaat turut menyangkal dakwaan di laman sosial Facebook menyatakan anaknya itu terjatuh akibat diragut, dan sudah menjadi viral sejak dua hari lalu.

Jelasnya, kenyataan itu palsu kerana dia sendiri tidak mengetahui kejadian sebenar dan orang yang melanggar anaknya telah membuat pengakuan bahawa tiada kejadian ragut seperti disebarkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisiomer Mohd Roze Shaari, menafikan kemalangan yang menimpa mangsa akibat ragut seperti disebarkan.

Menurutnya, lima pemegang akaun laman sosial berkenaan telah dipanggil dan diambil keterangan.

“Namun, tiada seorang pun daripada mereka yang menyaksikan kejadian sebenar kemalangan itu dan ia hanya cerita dari mulut ke mulut. 

“Kami akan terus menjalankan siasatan meskipun ia di bawah kes kemalangan jalan raya dan saya menggesa mereka yang mengambil barang berharga serta dokumen penuntut ini untuk memulangkannya.

Mohd Roze berkata, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya perlu menunggu mangsa sedar untuk mengambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.